
《做自己的太阳,去找你想要的星星和月亮》角子新书 | 成为大人的三部曲:面对、接受、自愈
February 27, 2026
教育出版社:一步步学会三语语法
March 2, 2026
《做自己的太阳,去找你想要的星星和月亮》角子新书 | 成为大人的三部曲:面对、接受、自愈
February 27, 2026
教育出版社:一步步学会三语语法
March 2, 2026
Ratu Jazz Malaysia Sheila Majid Raikan 40 Tahun Muzik dan Legasi
Teks | Larissa Lumandan
Foto | Magada Entertainment
Jika dunia muzik Malaysia mempunyai satu figura yang merentas generasi, sempadan, dan zaman, sememangnya nama Sheila Majid tidak pernah tercicir. Digelar Ratu Jazz Malaysia, Sheila bukan sekadar penyanyi yang mempunyai vokal lunak dan teknik kemas tetapi juga simbol keanggunan serta keberanian bereksperimen dalam usahanya berkarya. Hampir empat dekad berlalu sejak langkah pertamanya dalam industri muzik, namun aura beliau masih segar dan relevan untuk generasi lama yang membesar dengan lagu-lagunya serta cukup cool untuk generasi baharu.
Irama Klasik, Sentuhan Generasi Baharu
Satu daripada lagu ikonik Sheila yang dilancarkan pada tahun 1986, iaitu Sinaran diberikan nafas baharu dan diperkenalkan semula kepada pendengar muda. Lagu ini bukan sahaja kerap digunakan sebagai muzik latar kandungan digital malah mendekatkannya dengan generasi Z.
Lebih menariknya pada November 2025, PAPION, iaitu penyanyi kumpulan gadis popular yang diasaskan oleh syarikat media Indonesia, iaitu IDN turut membawa kembali lagu ini dengan sentuhan yang lebih segar dan moden. Mereka turut memuat naik versi muzik video di YouTube untuk menambahkan kelainan dan aura baharu kepada lagu klasik tersebut. Bukan itu sahaja, penyanyi pop terkenal Indonesia, iaitu Rossa juga menyanyikan semula Sinaran bagi projek istimewa beliau yang bertajuk Asmara Dansa. Di akaun TikToknya, beliau turut mencipta rutin tarian khusus untuk lagu tersebut sekali gus menjadi sohor kini di platform itu.
Fenomena ini jelas membuktikan bahawa muzik Sheila tidak mengenal masa, usia mahupun sempadan. Lagu yang pernah menjadi kegemaran generasi terdahulu kini kembali bersinar dan memikat hati generasi baharu, mengekalkan keindahan serta pesonanya sepanjang zaman.
Melangkah Keluar Zon Selesa

Walaupun bertahun-tahun lamanya dalam industri muzik, semangat Sheila untuk terus berkarya tidak pernah luntur. Pada tahun lalu, beliau melancarkan single terbaharunya yang berjudul Moving On, iaitu lagu yang sangat berbeza daripada muzik ballad klasiknya yang sering kita kenal.
“Saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan tarian yang benar-benar dapat dirasai dan dihayati oleh peminat,” ujar Sheila ketika ditemu bual oleh The Star sebelum ini. Hal ini menunjukkan bahawa selebriti ini masih berani bereksperimen dalam muziknya. Single ini juga merupakan hasil kolaborasi dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, iaitu Hyuk Shin yang menunjukkan keterbukaan Sheila terhadap idea dan trend baharu dalam muzik moden.
Namun demikian, beliau menjelaskan kepentingan muzik sebagai cerminan budaya serta identiti sesebuah masyarakat. Jika budaya sendiri tidak dititikberatkan, kita berisiko untuk lebih cenderung meniru budaya luar sehingga akhirnya kehilangan identiti sendiri, katanya. Menurutnya, tanggungjawab untuk memelihara identiti ini bukan terletak kepada artis semata-mata, tetapi turut melibatkan semua pihak dalam industri muzik.
“Jika kita melihat industri muzik Indonesia, mereka sangat kreatif dalam menggabungkan elemen tradisional seperti dangdut dengan muzik pop moden. Mengapa kita tidak melakukan perkara yang sama dengan mengasimilasikan elemen budaya kita sendiri? Kita tidak perlu terlalu ‘kebaratan’. Sebagai contoh, muzik pop yang saya bawakan sememangnya mendapat inspirasi daripada Barat. Namun, apabila saya menyanyikannya dalam bahasa Melayu dan menggunakan instrumen seperti gamelan dan gendang, muzik tersebut masih kedengaran moden tanpa melupakan asal-usul budaya kita,” kata beliau.
Satu Malam Penuh Nostalgia
Empat dekad gemilang perjalanan seni Sheila juga diraikan dengan penuh meriah menerusi konsert Sheila Majid: 40 Years in Music pada November 2025. Gelombang konsert tersebut berlangsung secara gilang-gemilang di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Sheila Majid 40 Years in Music ini juga ialah tribute kepada individu yang berada di belakang saya sehingga nama Sheila Majid masih diterima dan dikenali oleh generasi kini,” ujar Sheila kepada Gempak. Penyanyi itu turut meluahkan rasa terharu kerana mampu bertahan selama empat dekad dalam industri muzik.
“Saya sebenarnya tak sangka boleh menyanyi sehingga 40 tahun. Apabila saya fikir kembali, saya masih teringat-ingat saat saya terpaksa minta izin bapa saya untuk menyanyi tetapi tiba-tiba 40 tahun sudah saya berada dalam industri ini,” kongsi Sheila dengan senyuman.
“Apa yang lebih membahagiakan, saya dapat melakukan perkara yang saya minat. Banyak pengalaman berharga saya peroleh sepanjang berkecimpung dalam industri (muzik) — daripada asah bakat, berjumpa insan hebat sehingga bertemu dengan peminat setia. Semua ini membentuk siapa saya pada hari ini,” tambahnya lagi.
Selama lebih dua jam, Sheila yang tampil anggun dalam tiga persalinan rona merah ruby memukau peminat bukan sahaja dengan deretan lagu popular malah celoteh dan jenaka bersahaja sepanjang persembahan. Antara selebriti yang turut hadir memeriahkan konsert itu ialah Anuar Zain, Misha Omar, Nur Fazura, Jaclyn Victor serta dua penyanyi tersohor dari Indonesia, Vina Panduwinata dan Afgan.
Konsert tersebut menarik kehadiran kira-kira 9,000 orang peminat dengan lebih 20 lagu hits yang membawa mereka bernostalgia, termasuklah Warna, Bahagia, Embun, Kerinduan, Ku Mohon, Antara Anyer dan Jakarta, Legenda, Aku Cinta Padamu, Memori, dan tentunya lagu Sinaran.
Susulan kejayaan konsert tersebut, Sheila bakal membawa persembahan eksklusif itu ke Singapura pada 6 Jun tahun ini. Pengumuman rasmi tersebut dilakukan menerusi paparan visual di layar lebar pentas sejurus konsert berakhir, menandakan permulaan perjalanan Sheila membawa persembahannya ke pentas serantau.
“Insya-Allah, konsert ini akan dibawa ke Singapura pada 6 Jun ini. Kami masih mengekalkan produksi yang sama. Kalau nak tahu perbezaannya, kenalah datang dan saksikan sendiri,” ujar Sheila dengan penuh semangat.
Sebelum ini, Sheila juga pernah mengadakan konsert berskala besar, iaitu Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 di WTC pada 18 Mac 2023. Konsert itu diiringi 20 orang pemuzik dan tiga penyanyi latar menyaksikan Mac Chew mengetuai produksi muzik secara langsung.
Rakaman Empat Dekad

Bagi mereka yang mungkin terlepas memiliki salah satu album Sheila, tahun lalu menjadi detik istimewa apabila Universal Music Malaysia dan PMP Entertainment tampil dengan tawaran eksklusif yang tidak ternilai, iaitu pelancaran semua lapan album Sheila dalam format piring hitam, sesuatu yang julung-julung kali dilakukan oleh seorang artis Malaysia.
Edisi terhad ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-40 Sheila dalam industri muzik malah menjadi hadiah istimewa buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu agungnya. Hermond Cheng, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, menjelaskan bahawa pelancaran piring hitam tersebut adalah lebih daripada sekadar sambutan konsert Sheila Majid: 40 Years in Music yang lepas. Ini ialah penghargaan kepada legasi Sheila menandakan pencapaian 40 tahun beliau berkarya dan memberi inspirasi.
“Kebanyakan peminat sering bertanyakan album Sheila Majid yang akan tersedia dalam format piring hitam. Ini merupakan kali pertama seorang artis Malaysia memiliki semua album dalam bentuk ini,” kata Cheng dalam laporan Berita Harian.
Set piring hitam eksklusif ini menampilkan lapan album ikonik Sheila, iaitu Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita, dan Boneka. Proses rakaman yang teliti pada awal era kerjaya Sheila menjadikan koleksi piring hitam tersebut bukan sekadar medium muzik tetapi simbol dedikasi seni yang membentuk legasi beliau.
Dalam temu bual bersama-sama dengan pempengaruh YouTube Ccwhyao, Sheila menjelaskan bahawa proses rakaman muzik pada awal kerjayanya jauh berbeza berbanding dengan kaedah digital kini. Menurutnya, rakaman dahulu memerlukan pengulangan sehingga penerbit berpuas hati. Hal ini menyebabkan setiap korus kedengaran sedikit berbeza. Oleh itu, setiap album ini tidak hanya mengekalkan pesona lagu-lagu yang pernah mendominasi corong radio dan hati peminat malah menyatukan kenangan sepanjang tahun perjalanan penyanyi berbakat itu.
Bijak Menilai Dunia Glamor dan Realiti Hidup
Sheila turut berkongsi pandangannya tentang kehidupan selebriti yang sering dikaitkan dengan dunia glamor. Dalam satu sesi temu bual bersama-sama dengan Leaderonomics, beliau berkata, “Lakukan sesuatu kerana minat bukan kerana glamor. Jika anda mengejar kehidupan glamor, anda akan kecewa.” Sememangnya, kata-kata ini bukan sekadar motivasi kosong tetapi hasil pengalaman hidupnya sendiri — tentang liku-liku dan cabaran di sebalik kejayaan, tentang bekerja kerana cinta terhadap seni, dan bukannya semata-mata mengejar populariti.
Kini, pada usia lebih 60 tahun, Sheila masih gigih berkarya, menyanyi, dan menyentuh hati peminat dengan setiap lagunya. Beliau bukan sahaja legenda muzik Malaysia tetapi contoh inspirasi wanita yang mampu mengimbangi kerjaya, nilai hidup, dan kebijaksanaan dalam dunia moden yang serba pantas. Keupayaan Sheila untuk kekal relevan, kreatif, dan positif tanpa mengorbankan integriti diri menjadikan dirinya terus dihargai oleh generasi demi generasi.

Sheila Majid - 40 Years Anniversary Vinyl Boxset
Harga Asal: RM1,899.00
Diskaun Ahli: 15%*









