
Monsta Studio: Dari Malaysia ke Tahap Antarabangsa Bersama BoBoiBoy dan Papa Zola
2026年8月26日
Haque: Dari Dunia Permotoran ke Novel The Runner
2026年8月26日
Monsta Studio: Dari Malaysia ke Tahap Antarabangsa Bersama BoBoiBoy dan Papa Zola
2026年8月26日
Haque: Dari Dunia Permotoran ke Novel The Runner
2026年8月26日
Hafizul Faiz: Menelusuri Jejak Hamka dalam Belajar Hidup dari Hamka
Teks | Aiman Juperi
Foto | Hafizul Faiz
Bermula dengan satu pencarian sebuah perpustakaan institusi pendidikan tinggi, Hafizul Faiz terjumpa sebuah buku yang menarik perhatiannya berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck hasil tulisan Hamka. Beliau berasa gusar dan musykil pada mulanya kerana penulisannya ditulis dalam Bahasa Indonesia.
Namun begitu, Hafizul menganggap itu sebagai satu keunikan yang mencungkil sifat ingin tahu dirinya tentang novel tersebut. Tanpa mengetahui karya tersebut ialah satu daripada magnum opus atau karya agung Hamka, novel itu menjadi titik permulaan misi beliau mencari dan mendalami keperibadian tokoh sasterawan dan agamawan Nusantara ini.
Berdakwah Secara Manusiawi
Berbekalkan minat dan rasa ingin tahu yang mendalam, Hafizul mengorak langkah beliau dalam satu pengembaraan untuk mengenali Hamka dengan lebih dekat. Hafizul mula meneliti karya-karya Hamka dari segi gaya dan rentak penulisannya dalam usaha menyebarkan syiar Islam melalui sastera.
Beliau percaya bahawa seorang manusia harus mengetahui keseimbangan antara hal duniawi dengan ukhrawi. Sebagai seorang tokoh yang pernah memimpin Majlis Ulama Indonesia, Hamka telah membuktikan kepada Hafizul bahawa sastera juga dapat menjadi satu medium yang kreatif dan lebih mesra untuk berdakwah. Sedikit sebanyak, kajian gaya penulisan Hamka ini mempengaruhi gaya penulisan Hafizul sebelum beliau benar-benar menemui identitinya sendiri sebagai seorang penulis.
Penjelajahan Bermula
Penulis buku Belajar Hidup dari Hamka ini berkongsi kisah penjelajahannya mengikuti jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Hamka. Dari Danau Maninjau, Indonesia, iaitu tempat kelahiran Hamka sehinggalah ke Tanah Suci Mekah, catatan-catatan berkenaan Hamka yang dikumpul sejak tahun 2014 dibukukan dalam karya beliau ini.
Danau Maninjau ialah destinasi kegemaran Hafizul kerana tempat ini menjadi saksi perubahan hidup Hamka dari kecil hingga dewasa. Minat Hafizul yang sangat kuat ini mendorong beliau kerap datang ke sini sehinggalah terbina ikatan yang erat antara Hafizul dengan legasi keturunan Hamka. Hafizul juga menyatakan lokasi ini menjadi satu destinasi utama kunjungan beliau untuk mencari ketenangan dalam kesibukan dunia ini.
Seni Menjadi Manusia
Dalam temu bual eksklusif bersama POPClub, Hafizul menyatakan bahawa generasi masa ini wajar mengikuti teladan Hamka sebagai seorang manusia yang cukup kenal dengan erti manusiawi. Kini, masyarakat banyak meluangkan masa bersosial secara dalam talian sehingga mereka lalai tentang adab-adab seorang manusia yang berbudi pekerti.
Walaupun pernah melalui saat-saat getir sehingga menjejaskan kesihatan mental, Hamka tetap berpegang pada prinsipnya yang sentiasa tawakal kepada Tuhan dan menghadapi cabaran dunia dengan hati terbuka. Keperibadian Hamka sebagai seorang yang pemberani, penyayang, pencinta ilmu dan berjiwa kental inilah yang diceritakan oleh Hafizul dalam bukunya.
Jambatan Kecil Mengembalikan Ingatan
Mungkin misi asal Hafizul bermula dengan mencari siapa Hamka – figura yang semakin dilupakan oleh dunia. Walau bagaimanapun, selepas lebih sedekad menelusuri jejak tokoh Nusantara itu, Hafizul akhirnya menemukan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar seorang penulis atau ulama. Dalam setiap perjalanan, halaman buku dan catatan yang terkumpul, Hafizul menemukan jawapan tentang cara untuk menjadi manusia yang lebih jujur, beradab dan manusiawi.
Naskhah Belajar Hidup dari Hamka yang ditulis oleh Hafizul bukan sekadar untuk mengangkat Hamka semata-mata, tetapi mengajak pembaca memulakan misi mencari diri sendiri melalui sosok yang pernah mengubah kehidupan seorang pembaca di sebuah perpustakaan lebih sedekad yang lalu.

Belajar Hidup dari Hamka
Harga Asal: RM49.00 (SEM) / RM52.00 (S&S)
Diskaun Ahli: 20%*










