
Azmeer Shah: Mengangkat Jenayah Thriller Malaysia Menerusi Cold Case
2026年8月21日
Hafizul Faiz: Menelusuri Jejak Hamka dalam Belajar Hidup dari Hamka
2026年8月26日
Azmeer Shah: Mengangkat Jenayah Thriller Malaysia Menerusi Cold Case
2026年8月21日
Hafizul Faiz: Menelusuri Jejak Hamka dalam Belajar Hidup dari Hamka
2026年8月26日
Monsta Studio: Dari Malaysia ke Tahap Antarabangsa Bersama BoBoiBoy dan Papa Zola
Teks| Aiman Juperi
Foto | Monsta Studio / Ong Hooi Hoon
Perkembangan industri animasi di Malaysia semakin rancak sejak akhir-akhir ini seiring dengan inovasi teknologi moden yang semakin canggih. Monsta Studio ialah satu daripada studio animasi tempatan yang berjaya mengangkat nama tanah air ke persada dunia dengan siri animasinya yang terkenal seperti BoBoiBoy dan Mechamato.
Pada Disember 2025, studio tersebut telah mencipta sejarah baharu dalam industri animasi tempatan dengan filem animasi terbaharunya, Papa Zola The Movie. Filem ini meraih keuntungan lebih daripada RM68.2 juta sekali gus berada di kedudukan ketiga dalam carta filem Malaysia pecah panggung dan filem animasi Malaysia paling laris. Filem ini juga meraih 4.4 juta orang penonton di seluruh Asia Tenggara dan ditayangkan di beberapa buah negara lain seperti Turki dan India. Kejayaan ini membuktikan daya saing industri animasi tempatan di pentas global.
Budaya Tempatan Jadi Ikutan
Berputik daripada minat dan cinta yang mendalam terhadap animasi, Monsta Studio mula menempa nama pada tahun 2011 dengan siri animasi sulung mereka, BoBoiBoy. Siri ini berkisarkan pengembaraan kanak-kanak berusia 11 tahun bernama BoBoiBoy yang menggunakan kebolehannya memanipulasi elemen-elemen semula jadi untuk melindungi Bumi dengan rakan-rakannya daripada ancaman makhluk asing. Melihat kepada karya animasi Barat dan Jepun, siri animasi terbitan studio ini juga dicipta untuk mencerminkan nilai murni dan budaya masyarakat tempatan.
“Kami membesar dengan animasi dari Barat dan Japanese anime. Kami tengok cerita itu dan rasa kita patut mempunyai cerita kita sendiri sama ada dalam bentuk animasi atau komik. Inilah cerita kita yang mencerminkan budaya dan masyarakat sendiri,” ujar Anas Abdul Aziz, pengarah kreatif dan salah seorang daripada pengasas Monsta Studio ketika ditemu bual tentang inspirasi di sebalik penciptaan harta intelek Monsta Studio.
Monsta Studio mengangkat keunikan budaya tempatan sebagai sumber inspirasi jalan cerita siri animasinya. Antaranya ialah nilai toleransi, kerjasama dan keharmonian masyarakat berbilang kaum melalui persahabatan BoBoiBoy dan rakan-rakannya, iaitu Gopal, Yaya, Ying dan Fang termasuklah Adu Du, makhluk asing yang sering berbuat jahat.
Unsur budaya tempatan juga boleh dilihat daripada ciri-ciri estetika dunia BoBoiBoy dan Papa Zola. Contohnya, reka bentuk kapal angkasa dalam BoBoiBoy Movie 2 diilhamkan daripada permainan tradisional Malaysia seperti wau, congkak dan gasing, manakala bas mini merah jambu dalam Papa Zola membawa elemen nostalgia masyarakat Malaysia. Kebanyakan latar tempat dalam siri animasi terbitan Monsta Studio ini juga diilhamkan daripada bandar-bandar ikonik Malaysia seperti Kuala Lumpur dan Melaka.
Penerapan budaya tempatan bukan sahaja membuatkan siri animasi ini terasa dekat di hati penonton Malaysia, malah menjadi medium promosi negara ke serata dunia. Ramai peminat antarabangsa tertarik dengan keunikan budaya masyarakat Malaysia yang dipamerkan melalui siri animasi terbitan Monsta Studio ini. Contohnya, kuih karipap yang digemari Mechabot dalam siri animasi Mechamato menjadi kegilaan ramai peminat cilik di Jepun. Watak Yaya dari siri animasi BoBoiBoy yang bertudung juga dianggap sebagai satu nafas baharu oleh peminat di luar negara.
Membesar Bersama Penonton
Siri animasi BoBoiBoy terkenal dalam kalangan generasi muda masa kini. Kini, penceritaannya telah mula berkembang menjadi lebih kompleks dan matang supaya bersesuaian dengan demografi penonton dari pelbagai lapisan umur. Menurut Anas, 60 peratus daripada penonton karya animasi terbitan studio ini berusia dari 14 tahun dan ke atas. Dengan kerjasama kakitangan pelbagai generasi, studio ini dapat memastikan jalan ceritanya kekal relevan dengan penonton.
Dalam temu bual eksklusif bersama POPClub, Anas juga berkongsi keunikan pasukan Monsta Studio memastikan jalan cerita yang dihasilkan tidak lapuk dek zaman. Studio ini berpegang teguh pada formula “Lawak dan Lawan” yang menitikberatkan keseimbangan antara elemen kelakar dengan aksi.
Sejajar dengan itu, dunia BoBoiBoy dikembangkan dengan penerbitan karya-karya animasi lain di bawah naungan Monsta Studio seperti Papa Zola The Movie, iaitu terbitan turunan daripada siri animasi BoBoiBoy. Berikutan sambutan yang memberangsangkan, Monsta Studio telah menghasilkan lebih banyak kandungan tentang Papa Zola. Sebelum filem animasinya diterbitkan, studio itu telah mengkaji penerimaan masyarakat terhadap watak Papa Zola menerusi video pendek yang dimuat naik ke dalam pelbagai platform media sosial. Watak komedi yang mencuit hati ramai penonton ini sebenarnya tidak dirancang untuk dikembangkan. Namun atas permintaan tinggi daripada peminat, akhirnya Monsta Studio menerbitkannya sehingga menjadi filem animasi tempatan paling berjaya setakat ini.
Seni Menghidupkan Dunia Animasi
Selain teknologi canggih dan teknik animasi moden, seni lakon suara juga merupakan satu daripada komponen utama yang menghidupkan dunia animasi. Sesuatu yang dimulakan akibat beberapa kekangan di peringkat awal penubuhan studio ini telah melahirkan beberapa orang pelakon suara yang ikonik dalam kalangan kakitangan mereka sendiri.
Anas sendiri meminjamkan suaranya untuk memberi nyawa kepada beberapa watak kegemaran penonton seperti Adu Du dan Probe. Nizam Razak selaku pengarah pengurusan dan seorang daripada pengasas studio ini juga telah menghidupkan watak Papa Zola dengan suaranya. Walaupun terdapat beberapa orang kakitangan Monsta Studio dalam barisan pelakon suara siri animasi terbitan mereka, setiap pelakon yang dipilih perlu melalui sesi uji bakat terlebih dahulu bagi menentukan pilihan suara yang terbaik.
Setiap peranan yang dibawa perlulah menyampaikan emosi dengan jujur dan ikhlas. Anas percaya bahawa setiap pelakon tidak boleh berpura-pura. Penghayatan emosi bukanlah mudah, sering kali pelakon menggunakan pengalaman sebenar untuk mencungkil keluar emosi yang diingini untuk menjiwai watak lakonannya.
Anas turut berkongi pengalaman menghidupkan karakter lakonannya. Antara yang dikongsikan Anas ialah babak Tok Aba merindui kehadiran Umi dalam iklan bertemakan Hari Raya Aidilfitri. Babak itu menjadi satu daripada babak yang mencabar kemahirannya sebagai pelakon suara. Anas membayangkan beliau berbicara dengan arwah ayahnya untuk menghayati babak itu. Lakonan yang pada dasarnya membawa maksud berpura-pura sebenarnya memerlukan seni halus dalam menggunakan emosi sebenar untuk menghayati babak tersebut.
Animasi Menjadi Komik
Proses pengembangan jalan cerita di Monsta Studio berpandukan konsep yang ingin diperkenalkan. Misalnya, jalan cerita BoBoiBoy Galaxy musim kedua dikembangkan daripada idea untuk memperkenalkan kebolehan baharu BoBoiBoy seperti BoBoiBoy Beliung dan BoBoiBoy Sopan. Dari situ, mereka memikirkan medium terbaik untuk memperkenalkan konsep baharu itu.
Pada awalnya, Monsta Studio mahu menyambung musim kedua BoBoiBoy Galaxy dalam bentuk komik. Anas mendedahkan bahawa medium penerbitan karya mereka tidaklah sepenting pembikinan jalan cerita. Namun begitu, simbiosis antara kedua-duanya memberikan kesan terhadap teknik penceritaan.
“Yang penting cerita mesti ada dahulu. Format pula lebih kepada adakah memerlukan enam episod? Adakah 20 minit? 20 minit itu dalam bentuk komik atau animasi?” jawab Anas apabila POPClub bertanyakan pemilihan medium penceritaan karya terbitan studio ini.
Atas permintaan tinggi daripada peminat, akhirnya konsep yang diperkenalkan dalam bentuk ilustrasi itu telah dianimasikan. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara teknik penceritaan komik dengan siri animasi BoBoiBoy Galaxy, inti pati yang ingin diketengahkan melalui kedua-dua medium ini kekal sama.
Sokongan Padu Meningkatkan Mutu
Pada awal penubuhan studio ini, penggerak operasi sekitar 20 orang sahaja. Antara cabaran utamanya ialah kos animasi yang agak tinggi dan keterjaminan kualiti dengan tenaga kerja yang terhad sambil mengimbangi aspek teknikal dan kreatif dalam karya mereka. Di sebalik setiap cabaran itu, studio ini berjaya mengharunginya dan membawa industri animasi tempatan ke peringkat global.
“Kita sentiasa membuat penambahbaikan dan menetapkan satu kualiti animasi yang cukup bagus dan boleh diterima oleh penonton. Oleh itu, kita akan nampak setiap tahun dan setiap musim BoBoiBoy ada satu perubahan atau teknologi baharu yang akan kita cuba untuk terus memajukan dan meningkatkan kualitinya,” tambah Anas lagi.
Sebelum mengakhiri temu bual dengan POPClub, Anas menyatakan harapan beliau agar industri ini terus mendapat sokongan positif daripada masyarakat dan kerajaan sekali gus berkembang maju seiring dengan peredaran zaman.
Animasi BoBoiBoy dan Papa Zola berjaya mencatatkan kutipan pawagam yang membanggakan di Malaysia dan luar negara, sekali gus membuktikan bahawa karya animasi tempatan mampu berdiri sama hebat dengan animasi antarabangsa.
Kedua-dua karya ini turut mendapat sambutan hangat menerusi medium komik. Bukan sahaja komik Papa Zola The Movie menjadi pilihan peminat, malah siri Kompilasi Komik BoBoiBoy Galaxy Musim Ke-2 Jilid 1 hingga 6 yang eksklusif di POPULAR kekal sebagai siri kegemaran pembaca dan menjadi antara koleksi wajib peminat komik tempatan.






Kompilasi Komik BoBoiboy Galaxy Musim ke-2 Jilid 01 - 06
Harga Asal: RM29.90nett setiap satu
Diskaun Ahli: 10%*

Komik Papa Zola The Movie
Harga Asal: RM29.90 (SEM) & RM32.90 (S&S)
Diskaun Ahli: 10%*










