
Designed for the Modern Lifestyle: 7 Must-Have Gadgets for Work, Play and Everyday Convenience
August 21, 2026
Monsta Studio: Dari Malaysia ke Tahap Antarabangsa Bersama BoBoiBoy dan Papa Zola
August 26, 2026
Designed for the Modern Lifestyle: 7 Must-Have Gadgets for Work, Play and Everyday Convenience
August 21, 2026
Monsta Studio: Dari Malaysia ke Tahap Antarabangsa Bersama BoBoiBoy dan Papa Zola
August 26, 2026
Azmeer Shah: Mengangkat Jenayah Thriller Malaysia Menerusi Cold Case
Teks | Aiman Juperi
Foto | Azmeer Shah
“Jadi lelaki dari dulu tak selamat. Macam mana orang kata lelaki sekarang tak selamat?” – Azmeer Shah
Van putih pernah menjadi fenomena ngeri yang menggemparkan Malaysia dengan kes penculikan kanak-kanak. Kerisauan dan kewaspadaan keselamatan itu sehingga kini telah berasimilasi dengan budaya masyarakat dan menjadi urban legend atau cerita rakyat. Dibesarkan dengan kisah ini, Azmeer Shah mendapat ilham untuk menghasilkan novel terbaharu yang berjudul Cold Case.
Peminat Genre Thriller
Genre thriller bukanlah asing bagi Azmeer Shah. Beliau telah menghasilkan beberapa naskhah novel yang bertemakan genre sedemikian. Sejak kecil, beliau didedahkan kepada genre tersebut melalui filem dan novel oleh keluarganya sehingga ia mencungkil minatnya terhadap genre ini dan bidang penulisan novel.
“Minat saya bermula tatkala membaca novel seram yang dipinjam daripada saudara-mara semasa percutian keluarga. Dari situ, saya mula tertarik untuk memahami bagaimana elemen ngeri dan seram disampaikan melalui penulisan, sehingga akhirnya mendorong saya menghasilkan novel thriller sendiri,” kongsi Azmeer Shah.
Bukan itu sahaja, sifat ingin tahunya terhadap alam ghaib juga memainkan peranan yang besar dalam pembentukan idea-idea penulisannya. Menurut Azmeer Shah, ramai rakan-rakannya mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus dan kisah-kisah yang didengarinya menjadi ilham untuk mencipta karakter yang menakutkan dalam novel beliau.
Penceritaan Realistik
Novel Cold Case ditulis ketika Azmeer Shah masih di usia remaja, namun mutu penulisan dan penceritaannya berjaya memukau pembaca daripada pelbagai lapisan umur. Huraian beliau mengenai kengerian keadaan mangsa pembunuhan disampaikan dengan begitu terperinci dan realistik, menjadikannya antara elemen yang paling menarik perhatian peminat novel bergenre jenayah thriller.
Menghasilkan huraian seteliti itu bukanlah satu teknik penulisan yang mudah kerana memerlukan kajian dan pemahaman yang mendalam. Genre jenayah thriller memerlukan fakta untuk menyokong situasi fiksyen agar relevan di mata pembaca walaupun kisah tersebut hanyalah rekaan. Bagaimanapun, novel Cold Case mampu membawa pembaca menyelami perspektif setiap watak dalam siasatan kes jenayah yang mengerikan ini.
“Saya terjumpa seorang polis di pesta buku. Jadi, saya minta pendapat dan kritikan daripada dia tentang kerja-kerja polis yang saya tulis. Katanya, ada babak yang realistik dan ada yang perlu diubah. Sampai sekarang, kami masih lagi berhubung,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama POPClub.
Dari sudut pandangan mangsa sehinggalah sudut pandangan Inspektor Umar yang lebih teknikal, setiap penjelasan membawa pembaca memahami proses siasatan sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi tentang identiti sebenar penjenayah. Walaupun sumber maklumat terhad, ia tidak menghalang Azmeer Shah daripada mendalami dunia kepolisan dan jenayah. Beliau sedar bahawa genre ini mencabar, namun kekal positif untuk meningkatkan gaya dan kualiti penulisannya.
Impian Penulis
Dengan kejayaan pelancaran novel Cold Case di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Azmeer Shah berhasrat untuk menjadikan kisah jenayah thriller ini sebagai satu pesanan kepada pembaca bahawa dunia ini mempunyai sisi gelap yang memerlukan sifat waspada. Beliau juga mahu menghapuskan stigma terhadap keselamatan lelaki yang sering dipandang remeh seperti yang ditunjukkan oleh watak Harris.
Bermula dengan perasaan takut kepada cerita jenayah, penulis yang berimpian untuk mengungguli genre jenayah thriller ini mahu membawa genre tersebut ke dalam media aliran umum di Malaysia. Sukar untuk percaya bahawa penulis novel thriller yang laris ini, dahulunya bukan ulat buku. Bagaimanapun, novel seram yang dipinjam daripada ahli keluarganya menjadi titik perubahan yang mengubah hidup Azmeer Shah.

Cold Case
Harga Asal: RM34.00 (SEM) / RM37.00 (S&S)










