Hafizul Faiz: Menelusuri Jejak Hamka dalam Belajar Hidup dari Hamka

August 26, 2026

让孩子不再害怕写英文电邮!

August 26, 2026

Hafizul Faiz: Menelusuri Jejak Hamka dalam Belajar Hidup dari Hamka

August 26, 2026

让孩子不再害怕写英文电邮!

August 26, 2026

Haque: Dari Dunia Permotoran ke Novel The Runner

Teks | Aiman Juperi

Foto | Haque

Dunia permotoran sinonim dengan masalah sosial masyarakat ekoran kecenderungan sesetengah pihak melakukan aktiviti berbahaya di jalan raya. Bagaimanapun, Haque yang lama berada dalam dunia ini memperkenalkan sisi lain kehidupan penunggang motosikal tegar melalui novel debutnya, The Runner. Beliau menggandingkan dunia permotoran dengan elemen mistik atau supernatural menerusi watak protagonisnya, Al Haq yang menggunakan kebolehan meramal masa depannya untuk mengubah takdir.

Dualiti Seorang Penulis

Walaupun wujud persamaan nama Al Haq dengan Haque, kedua-dua nama itu bukanlah nama beliau tetapi nama anaknya yang digabungkan dengan gelarannya, iaitu “Al.” Beliau juga berkongsi serba sedikit tentang latar belakangnya secara eksklusif dalam temu bual bersama POPClub tentang identiti yang pernah menjadi satu misteri sensasi di platform media sosial, TikTok.

Sebelum popularitinya melonjak naik menerusi kandungan dunia permotoran dalam TikTok, Haque dikenali sebagai Al Shah yang gemar berpuisi. Namun begitu, personaliti itu ditinggalkan sebelum beliau melangkah masuk ke dunia penulisan novel. Keputusan itu dibuat untuk memperkenalkan dirinya sebagai penulis novel sekali gus menjadi titik peralihan hidupnya daripada pemuisi kepada penulis.

Selami Diri Mencari Ilham

Menurut Haque, pelbagai kajian telah dilakukan sebelum beliau mula menzahirkan ideanya untuk menghasilkan novel The Runner ini. Selepas mengetahui bahawa kisah bertemakan geng motor kurang di pasaran, beliau menggunakan pengalamannya dan orang di sekelilingnya sebagai sumber inspirasi utama novel sulung beliau.

Penciptaan setiap watak novel ini diilhamkan daripada personalitinya yang berwarna-warni. Sebagai contoh, Al Haq melambangkan sifatnya yang tabah, penyayang dan prihatin manakala Kael Malek melambangkan sifatnya yang egois dan degil. Watak Qudr Idris pula menggambarkan sifatnya yang agak nakal dan akhir sekali, Kayden Rees melambangkan sifatnya yang setiakawan. Oleh yang demikian, lahirlah watak empat sekawan geng motor The Outlaws dalam kisah ini.

Cabaran Penulis Baharu

Permulaannya sebagai penulis bukanlah perjalanan yang mudah kerana manuskrip Haque pernah ditolak beberapa kali. Bagaimanapun, penulis baharu ini menyatakan bahawa penolakan itu bukanlah satu kegagalan. Sebaliknya, beliau menerima segala kritikan dan maklum balas daripada penerbitnya dengan semangat positif bagi meningkatkan kemahirannya dalam penulisan. Selain itu, beliau juga berdepan dengan pelbagai kritikan daripada pembaca walaupun novel The Runner mendapat sambutan hangat.

Komen pembaca mengatakan novel ini mudah difahami kerana gaya bahasanya ringkas seiring dengan niat Haque agar karya sulungnya ini mudah diterima pembaca sekali gus menjadi titik perkenalannya sebagai penulis novel. Namun begitu, ada yang melemparkan tuduhan bahawa karya ini ditulis oleh kecerdasan buatan (artificial intelligence). Bagaimanapun, beliau menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang mendewasakan dan mematangkan dirinya sebagai seorang manusia dan penulis.

Perjalanan Seterusnya

Haque sudah merangka rancangan jangka panjang untuk meluaskan dunia The Runner dan telah pun mula menulis novel keduanya. Sekali lagi, tema peluang kedua akan menjadi teras novel itu menerusi watak Qudr Idris. Apabila POPClub bertanyakan nasib karakter lain, beliau tersenyum dan meminta pembaca menantikan jawapannya dengan sabar.

Kisah Al-Haq dan rakan-rakannya mungkin berakhir buat masa ini tetapi perjalanan Haque sebagai penulis baru bermula. Dengan keinginan untuk memperkenalkan tarikan dunia permotoran melalui penulisan kreatif, beliau berhasrat untuk menunjukkan perubahan positif dalam gaya penulisan bagi karya selanjutnya.

Available at POPULAR/HARRIS bookstores and POPULAR Online