
Syira Lokman Kongsi Tips Hadapi Hubungan Toksik dan Lindungi Harga Diri
February 27, 2026
Uketsu: The Anonymous Japanese Writer Behind Bestselling Strange Houses Series
February 27, 2026
Syira Lokman Kongsi Tips Hadapi Hubungan Toksik dan Lindungi Harga Diri
February 27, 2026
Uketsu: The Anonymous Japanese Writer Behind Bestselling Strange Houses Series
February 27, 2026
Cinta dan Doa: Kisah Inspirasi Di Antara Dua Sujud oleh Pasangan Suami Isteri - Thyora
Teks | Larissa Lumandan
Foto | Ahmad Fathyakan dan Ora Mawaddah
Dalam dunia yang sering menyanjung kesempurnaan, terdapat kisah yang berani menelusuri hati manusia yang bercelaru, tatkala doa menjadi penawar dan cinta ditemui dalam ketidaksempurnaan. Novel Di Antara Dua Sujud oleh Thyora, hasil kolaborasi pasangan suami isteri Ahmad Fathyakan dan Ora Mawaddah merupakan sebuah naratif yang lahir daripada pengalaman nyata dan keberanian untuk berdamai dengan diri sendiri.
Walaupun novel ini ditulis secara bersama, denyut emosinya bernafas melalui perspektif wanita. Menurut Ora, sebahagian besar penulisan lahir daripada imaginasi, emosi, dan konflik dalaman yang akrab dengan pengalaman seorang perempuan. Watak-wataknya bukan simbol ideal, sebaliknya manusia yang bergelut dengan trauma, ketakutan, dan keinginan untuk dicintai tanpa syarat. Suaminya, Fathyakan pula melengkapkan naratif dengan idea plot twist dan memperhalus bahasa agar ceritanya seimbang antara struktur dengan emosi. Hasilnya ialah sebuah karya matang yang lahir daripada pertemuan dua pandangan yang berbeza tetapi berpaut pada tujuan yang sama.
“Sekitar 80 peratus kandungan novel ini berasaskan kisah nyata,” kata Ora dalam temu bual eksklusif bersama-sama dengan POPClub. Pengalaman penulis dan cerita orang di sekeliling menjadi asas pembentukan watak Inara dan Zafriel. Kejujuran ini menjadikan konflik watak terasa dekat dan membuatkan pembaca berasa seolah-olah mereka membaca kisah seseorang yang dikenali atau mungkin kisah sendiri.
Menurut Ora, proses kreatif beliau dan suami tidak berlaku secara berstruktur mengikut bab, sebaliknya berkembang secara spontan melalui perbincangan harian. “Idea cerita sering muncul ketika memandu, ketika makan, atau dalam perbualan santai,” jelas beliau. Kadangkala beliau akan melontarkan persoalan mudah seperti bagaimana jika Inara dibentuk sebagai watak yang lebih kuat? Daripada situ, perbincangan berkembang dan setiap idea yang dipersetujui akan dicatat sebelum dipindahkan kepada manuskrip utama.
Perbezaan pandangan antara suami isteri dianggap normal dalam proses berkarya namun tidak dibiarkan berlarutan. Ora menyatakan bahawa setiap percanggahan dirujuk semula kepada tujuan asal untuk menghasilkan kisah cinta berlandaskan Islam yang menyentuh hati dan memberi pengajaran. “Soalnya bukan siapa yang betul tetapi bagaimana konflik atau keputusan watak dapat dikaitkan dengan nilai yang ingin disampaikan,” tambahnya. Di situlah kekuatan naratif terbina, bukan sekadar romantik tetapi pada makna, pertumbuhan, dan hikmah yang menyertainya.
Selain itu, latar luar negara turut menambahkan dimensi realisme dan spiritual novel tersebut. Sebagai contoh, roti eish, suasana Masjid Al-Hussein, dan persekitaran kafe di Mesir digambarkan dengan teliti berdasarkan pengalaman Ora yang pernah berkunjung ke sana. Pemilihan Mesir turut diperkaya dengan pengalaman suaminya yang pernah menetap di negara tersebut selama sepuluh tahun menjadikan perincian cerita terasa lebih autentik.
Lebih daripada sebuah kisah cinta islamik, cerita Di Antara Dua Sujud merupakan refleksi tentang komunikasi dalam perkahwinan dan kehidupan. Novel ini mengajak pembaca untuk berhenti sejenak, mengakui luka dalam diri mereka, dan percaya bahawa cinta yang matang lahir daripada doa yang tidak pernah sunyi. Watak Inara dan Zafriel bukan sekadar imaginasi tetapi cerminan pengalaman sebenar — jatuh bangun dan perjalanan menemukan makna iman serta cinta.
Akhirnya, buku ini mengingatkan kita bahawa cinta sejati bukanlah tentang kesempurnaan tetapi keberanian untuk menghadapi luka, ketulusan dalam doa, dan kesediaan hidup dengan ketidaksempurnaan — di antara dua sujud.

Di Antara Dua Sujud
Harga Asal: RM45.00 (SEM) / RM48.00 (S&S)
Diskaun Sekarang: 20%*










