Lauren Roberts Fantasy Series Powerless Trilogy Ends with Fearless
February 27, 2026
Cinta dan Doa: Kisah Inspirasi Di Antara Dua Sujud oleh Pasangan Suami Isteri – Thyora
February 27, 2026
Lauren Roberts Fantasy Series Powerless Trilogy Ends with Fearless
February 27, 2026
Cinta dan Doa: Kisah Inspirasi Di Antara Dua Sujud oleh Pasangan Suami Isteri – Thyora
February 27, 2026

Syira Lokman Kongsi Tips Hadapi Hubungan Toksik dan Lindungi Harga Diri

Teks | Larissa Lumandan

Foto | Syira Lokman

“Menetapkan sempadan ialah satu bentuk penjagaan emosi dan mental bukannya kerana ego atau mementingkan diri.” – Syira Lokman

Tidak semua luka berdarah dan tidak semua kesakitan dapat dilihat dengan mata kasar. Ada luka yang hadir melalui kata-kata dan emosi yang dinafikan. Luka-luka inilah yang sering dipandang remeh namun dalam diam dapat menghakis jiwa dan harga diri seseorang.

Dalam temu bual eksklusif bersama-sama dengan POPClub, kaunselor dan penulis buku motivasi Syira Lokman, kritikan berterusan, gurauan kasar, dan body shaming adalah antara bentuk penderaan halus yang dianggap remeh, akhirnya memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental seseorang. Ungkapan seperti ‘aku dulu lebih teruk daripada kau’ atau ‘kau ni sensitif sangat’ sering digunakan dengan niat untuk membangkitkan semangat. Bagaimanapun, kata-kata ini menafikan perasaan individu yang sedang terluka dan mewujudkan pengabaian emosi yang serius.

Begitu juga dengan ayat seperti ‘Sabar saja.’ atau ‘Dia memang macam tu!’ yang kerap diulang untuk menenangkan keadaan. Syira menyatakan bahawa ungkapan dan ayat itu boleh menghakis keupayaan seseorang untuk berasa difahami. Perasaan mereka seolah-olah dianggap kecil dan tidak penting. “Justeru, penting untuk kita mempelajari teknik mendengar dengan baik kerana ada kalanya penyelesaian itu muncul bukan melalui jawapan kita tetapi penyelesaian itu wujud selepas seseorang itu meluahkan perasaan tanpa dihakimi,” tambahnya.

Apabila terluka, kebanyakan orang memilih untuk mendiamkan diri dan menyendiri dengan harapan kesakitan itu akan reda dengan sendirinya. Beliau menyatakan bahawa konsep silent treatment ini sering disalah tafsir sebagai cara berkesan untuk menzahirkan emosi. Namun begitu, emosi yang dipendam akan menimbulkan tekanan dalaman, meningkatkan pemikiran negatif, dan meracuni kesejahteraan mental secara perlahan-lahan. Pengasingan diri daripada kelompok sosial juga menyukarkan individu mendapatkan sokongan dan bantuan yang sewajarnya.

Syira juga menyatakan bahawa antara faktor utama seseorang mudah dimanipulasi dan terperangkap dalam hubungan toksik ialah ketidakupayaan untuk menetapkan sempadan dalam perhubungan. Trauma masa lalu boleh mendorong seseorang menjadi people pleaser hingga sukar mengatakan tidak dan sentiasa mengutamakan orang lain. Ketakutan dianggap mementingkan diri, ego atau bimbang kehilangan kasih sayang menyebabkan golongan ini membiarkan diri terus dikawal dan disakiti. Walhal tindakan menetapkan sempadan bukan tanda keegoan, sebaliknya satu bentuk penjagaan emosi dan mental yang penting.

“Seseorang perlu berhenti terlalu sibuk ‘memahami’ orang lain dan harus melindungi diri sendiri apabila sesuatu hubungan atau situasi mula menjejaskan kesejahteraan mental, emosi atau fizikal,” kata Syira. Menurut beliau, memahami orang lain adalah satu bentuk empati tetapi apabila harga diri dan kesihatan sendiri terkorban, keputusan untuk meletakkan noktah bukanlah satu kesalahan. “Rasa bersalah pasti hadir, disusuli kebimbangan akan dianggap mementingkan diri,” tambahnya. Bagaimanapun, perubahan boleh dimulakan secara perlahan. Refleksi diri, mengenali emosi sendiri, menilai semula hubungan, dan berlatih untuk berkata tidak merupakan langkah awal ke arah pemulihan.

Sebelum mengakhiri temu bual, Syira menyatakan bahawa beliau berharap agar buku terbaharunya, iaitu Toksik: Seni Menyakiti Secara Halus dapat menyedarkan pembaca bahawa ruang untuk bangkit sentiasa ada walaupun lama terperangkap dalam situasi yang toksik. Semoga persoalan tentang ‘sampai bila aku mahu membiarkan hidupku terus tersakiti?’ menjadi titik tolak untuk pembaca kembali mencari dan memulihkan harga diri yang telah sekian lama terhakis.

Toksik: Seni Menyakiti Secara Halus / Take It Easy, Be Strong / Comeback Stronger

Harga Asal: RM25.00 (SEM) / RM28.00 (S&S) setiap satu
Diskaun Sekarang: 20%*

Available at POPULAR/HARRIS bookstores and POPULAR Online
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.