The Story of Love, Twice Told
December 2, 2025
Tech It Easy This Holiday!
December 3, 2025
The Story of Love, Twice Told
December 2, 2025
Tech It Easy This Holiday!
December 3, 2025

Lawak Kampus Origin:
Daripada Lakaran ke Dunia Nyata

Setelah lebih dua dekad menghiburkan pembaca dengan gelak tawa dan karakter unik, Lawak Kampus kini memasuki dimensi baharu. Dunia dua dimensi ciptaan Keith di helaian kertas, kini berbentuk tiga dimensi, iaitu figura sebenar yang dapat dipegang dan dikumpul oleh peminatnya.

“Saya teruja. Pelancaran ini seperti impian menjadi kenyataan,” ujar Keith penuh semangat. Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh POPClub selepas Lawak Kampus Origin, siri figura terbaharu itu mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat komik tersebut.

Idea untuk menghasilkan figura Lawak Kampus bukanlah sesuatu yang baharu. “Kulit muka depan Lawak Kampus Jilid 1 dahulu pun konsepnya berasaskan watak-watak yang digambarkan seperti figura. Dari awal saya berhasrat untuk menjadikan mereka figura sebenar,” jelasnya.

Keith mengakui bahawa pelancaran figura ini pada waktu yang strategik. Akhir-akhir ini, blind boxes dan barangan harta intelek (IP) seperti rantai kunci berbulu (plushie) menjadi kegemaran. Oleh itu, beliau berharap agar khalayak lebih mengenali Lawak Kampus dan dunia komik tempatan.

Adaptasi ke Dunia Novel

Selain dunia figura, Lawak Kampus turut dikembangkan dalam bentuk novel melalui siri Magic Bean yang menampilkan judul seperti Lawak Kampus Menebak Imposter, Unboxing Berpuaka, dan Vanness & Buku Ajaib.

“Projek ini sangat menarik!” ujar Keith. “Saya menerima mesej daripada pihak editorial yang memaklumkan tentang projek untuk menghasilkan novel Lawak Kampus dan penulisnya ialah Iqbal Rafiuddin,” katanya.

Pada awalnya, Keith bimbang untuk mengadaptasikan karyanya. “Komik Lawak Kampus dekat di hati saya. Apabila editor memberitahu bahawa Iqbal peminat komik saya dan mengenali watak serta jalan ceritanya, barulah saya berasa yakin,” jelasnya.

Kerjasama mereka teratur. “Iqbal akan mengemukakan cadangan plot. Kemudian, saya dan pembantu akan memilih plot yang menarik. Setelah draf siap, kami akan memastikan semua watak kekal dengan personaliti asal,” katanya.

Beliau mengutamakan kepentingan jiwa dan semangat asal komik. “Saya mensyaratkan bahawa watak mesti kekal dengan keperibadian asal. Unsur paling penting ialah jalan cerita menarik dan pembaca tidak sabar untuk membuka halaman seterusnya,” jelasnya.

Harapan yang Tersimpan

Bagi Keith, pelukis komik yang bercita-cita untuk menghasilkan figura, fokus pertamanya ialah karya asal. “Sebagai pencipta, pengukuhan asas karya sangat penting. Setelah mempunyai pengikut, barulah kita memikirkan langkah untuk menghasilkan figura,” katanya.

Beliau menyebut beberapa kejayaan antarabangsa seperti Labubu, Molly, dan Crybaby daripada Pop Mart yang bermula dengan IP kecil sebelum menjadi fenomena global. “Kita pun mampu berdiri di pentas dunia jika berani mengetengahkan keunikan dan kepelbagaian budaya tempatan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan cabaran besar penghasilan figura ialah kos. “Modalnya tinggi. Saya berharap agar kerajaan membantu pencipta tempatan dengan menganjurkan pertandingan IP bagi membantu pemenang untuk menghasilkan figura,” ujarnya penuh harapan.

Kolaborasi dan Masa Hadapan

Keith kini sibuk dengan pelbagai kolaborasi. “Terkini, saya bekerjasama dengan manga Jepun Delicious in Dungeon (Dungeon Meshi) untuk menghasilkan barangan untuk kedai Pop-Up, K+ di Lalaport, Kuala Lumpur. Projek lain dirahsiakan sehingga pengumuman rasmi nanti,” katanya.

Sebelum mengakhiri temu bual, beliau mengucapkan penghargaan kepada penyokong Lawak Kampus. “Saya menghargai peminat komik, novel, dan kini figura Lawak Kampus. Sokongan anda menjadi inspirasi dan semangat untuk saya terus berkarya!” katanya

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.