Young Malaysian Author Aiyssia Debuts with The Song We Left Unfinished
April 2, 2026
6 Must-Have Tech & Home Gadgets for Smarter Living
April 3, 2026
Young Malaysian Author Aiyssia Debuts with The Song We Left Unfinished
April 2, 2026
6 Must-Have Tech & Home Gadgets for Smarter Living
April 3, 2026

Cinta dan Bahaya Bersatu dalam Daniel Adelia Karya NisaaMuttalib

Teks | Larissa Lumandan

Photo | NisaaMuttalib

Dalam landskap novel cinta tempatan yang sering bergerak di garis selamat antara manis dengan bahagia, kemunculan karya terbaharu NisaaMuttalib atau nama sebenarnya Nur Khairunnisa binti Abdul Muttalib, iaitu Daniel Adelia menjadi satu anjakan yang menarik. Beliau memilih untuk tidak memisahkan cinta daripada bahaya, sebaliknya menyatukan kedua-duanya dalam naratif yang berlapik emosi, konflik dalaman, dan persoalan moral. Melalui penggunaan trop hubungan palsu sebagai pintu masuk cerita, NisaaMuttalib bukan sekadar menggerakkan plot tetapi membina ketegangan yang perlahan-lahan meresap ke jiwa pembaca.

Menurutnya, pemilihan trop hubungan palsu ini lahir secara spontan bukan sekadar helah romantik tetapi strategi penceritaan untuk memadatkan naratif tanpa mengorbankan emosi. “Jika dalam karya-karya saya yang terdahulu, hubungan watak-watak utama berkembang dalam tempoh yang panjang. Pendekatan baharu ini membolehkan konflik muncul lebih awal, sekali gus mengekalkan momentum cerita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama-sama dengan POPClub. Jelasnya, hubungan kedua-dua watak utama yang bermula sebagai lakonan akhirnya membuka ruang kepada perasaan sebenar namun dalam keadaan yang tidak benar-benar selamat.

Keunikan penulisan NisaaMuttalib terletak pada keberaniannya menggabungkan unsur cinta dengan ancaman. Dunia yang dibinanya sering dikelilingi bahaya sama ada melalui musuh, konflik masa lalu atau hubungan kekeluargaan yang retak. “Cinta dalam naratif ini bukan ketakutan, sebaliknya lahir di tengah-tengah rasa takut itu sendiri. Unsur tersebut menjadi sumber kekuatan tetapi dalam masa yang sama mampu membuka ruang kepada sifat protektif yang berlebihan dek takut akan kehilangan,” tambah beliau.

“Watak hero Daniel Arfan digambarkan sebagai lelaki yang berkuasa, keras kepala, dan sentiasa bersedia sebagai pelindung. Namun begitu, di sebalik ketegasan tersebut tersembunyi sisi rapuh, takut kehilangan orang yang disayangi, dan luka lama akibat hubungan keluarga yang terputus. Sifat melindungi insan yang dimilikinya sering bersempadan dengan obsesi menjadikan pembaca tertanya-tanya – di manakah garis antara cinta yang menjaga pasangan dengan cinta yang memenjarakan pasangan?

Watak heroin Elly Adelia pula diperkenalkan sebagai gadis yang naif dan memerlukan perlindungan. Bagaimanapun, NisaaMuttalib mengatakan bahawa beliau dengan sengaja menyembunyikan kekuatan sebenar watak ini. Di sebalik sikap pasif yang dipamerkan pada awal cerita, Elly sebenarnya memiliki daya tahan dan keberanian yang hanya terserlah apabila lapisan demi lapisan naratif dibuka. Pendekatan ini mengajak pembaca untuk tidak tergesa-gesa menilai watak berdasarkan permukaan, sebaliknya menunggu hingga kebenaran tersingkap.

Satu lagi elemen penting dalam novel ini ialah konflik keluarga. Keretakan hubungan antara Daniel dan keluarganya, khususnya dengan bapanya sendiri menjadi detik yang mengundang renungan pembaca. “Di sinilah pembaca diajak untuk berhenti sejenak, merenung makna restu, dendam, dan pengampunan,” jelas beliau.

Menariknya, NisaaMuttalib mengakui bahawa kebanyakan karyanya ditulis ketika beliau masih remaja. Tanpa pengalaman peribadi yang mendalam, imaginasi dan pengaruh pembacaan novel-novel terdahulu menjadi sumber utama inspirasinya. Walau bagaimanapun, keterbatasan pengalaman itu tidak menghalang kejujuran emosi yang terpancar dalam penulisannya. Malahan, kespontanan yang menjadi kaedah penulisannya melahirkan naratif yang mentah tetapi jujur.

Sememangnya, karya NisaaMuttalib membuktikan bahawa novel cinta tidak perlu terperangkap dalam hitam putih kebahagiaan. Dengan menyatukan cinta dan bahaya, perlindungan dan ketakutan, beliau telah berjaya membuka ruang baharu dalam genre ini tentang cinta seperti kehidupan juga turut lahir dalam keadaan yang tidak sempurna.

Daniel Adelia

Harga Asal: RM33.00 (SEM) / RM36.00 (S&S)
Diskaun Ahli: 20%*

Be My Babygirl

Harga Asal: RM24.00 (SEM) / RM27.00 (S&S)
Diskaun Ahli: 20%*

Available at POPULAR/HARRIS bookstores and POPULAR Online
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.