
5本女性悬疑小说:情节反转、心理博弈、人性深渊
3 4 月, 2026
I Could Give You the Moon: Ann Liang’s Rise as a Bestselling Romance Author
5 5 月, 2026
5本女性悬疑小说:情节反转、心理博弈、人性深渊
3 4 月, 2026
I Could Give You the Moon: Ann Liang’s Rise as a Bestselling Romance Author
5 5 月, 2026
Daripada Seram ke Romcom: Aman Wan Dedah Perjalanan Kreatif di Sebalik Operasi Memikat Hati Bakal Mentua
Teks | Larissa Lumandan
Foto | Aman Wan
Dalam dunia sastera popular, genre sering dilihat sebagai batas yang memisahkan pengalaman membaca sesebuah karya dalam kalangan pembaca. Cerita seram mengundang ketakutan manakala kisah romantik pula menyentuh perasaan kasih dan cinta. Namun begitu, bagi Aman Wan, kedua-dua genre ini sebenarnya berkongsi akar yang sama, iaitu emosi manusia.
Menurut beliau, sama ada pembaca berdepan dengan adegan menegangkan dalam cerita seram atau detik yang menyentuh hati dalam kisah cinta, kedua-duanya bergantung pada reaksi emosi terhadap konflik. Gabungan dua genre yang berbeza ini memberikan kelainan yang mampu menarik minat pembaca yang suka akan campuran emosi.
“Sebuah pintu yang dibuka dalam cerita seram mungkin menyembunyikan sesuatu yang menakutkan tetapi dalam novel romantik di sebalik pintu itu mungkin tersingkap kebenaran tentang pengkhianatan atau rahsia perasaan,” kata penulis berusia 48 tahun ini dalam temu bual eksklusif bersama-sama dengan POPClub.
Pandangan ini bukan sekadar teori, sebaliknya lahir daripada pengalaman peribadi beliau sewaktu bekerja sebagai pegawai pemasaran kepada penulis terkenal, Ain Maisarah Daliman pada sekitar tahun 2011 hingga 2012. Dari situlah Aman secara tidak langsung mempelajari gaya bahasa, ritma penceritaan, dan cara membina hubungan emosi dengan pembaca.
Daripada Seram ke Romcom
Peluang untuk menulis novel hadir apabila beliau mencuba genre seram dan thriller pada tahun 2015 menerusi sebuah projek di bawah seliaan Ain Maisarah. Namun begitu, setelah sekian lama berada dalam dunia seram, Aman berasakan adanya keperluan untuk meneroka dimensi yang berbeza. Keinginannya untuk menghasilkan karya yang lebih ringan tetapi tetap menyentuh emosi mendorongnya beralih kepada genre romantik komedi pada tahun 2018.
Peminat novel Sophie Kinsella itu juga berkata bahawa beliau banyak membaca dan merujuk karya penulis luar negara bagi memahami struktur dan nada penceritaan romantik yang berkesan. Hasilnya, beliau berjaya membentuk identiti baharu sebagai penulis kisah cinta yang mampu mengimbangi unsur humor dan emosi.
Karya terbaharu Aman, Operasi Memikat Hati Bakal Mentua memperlihatkan kematangan tersebut. Novel ini bukan sekadar kisah cinta atau huru-haranya usaha untuk memikat hati bakal mentua tetapi turut mengangkat tema yang dekat dengan kehidupan, termasuklah hubungan kekeluargaan dan pengalaman kehilangan insan tersayang.
“Novel ini juga mengisahkan seorang lelaki yang sukar meluahkan perasaannya dengan sudut pandangan daripada sisi lelaki. Sekarang, majoriti novel romcom berdasarkan sudut pandangan perempuan,” tambahnya menjelaskan pendekatan unik yang dibawa dalam novel terbaharunya.
Cabaran dan Pendekatan Penulisan
Menurut Aman, novel terbaharunya berasaskan imaginasi namun digarap daripada gabungan beberapa pengalaman sebenar. Dalam proses penghasilan karya ini, beliau tidak lari daripada berhadapan dengan cabaran besar. “Antara cabaran terbesar dalam penulisan novel ini adalah untuk membezakan suara dengan karakter setiap watak,” katanya.
Bagi mengatasi perkara tersebut, Aman menggunakan pendekatan yang sistematik dengan merangka keseluruhan cerita dari awal hingga akhir sebelum beliau mengembangkan watak-watak sampingan mengikut peranan masing-masing. “Keseluruhan novel ini disiapkan dalam tempoh enam bulan, bermula daripada idea sehinggalah selesai manuskrip penuh,’ katanya.
Pendekatan ini turut membantu beliau untuk membina watak utama yang seimbang dan meyakinkan. Keupayaan beliau telah berjaya mencipta pengalaman membaca novel yang santai tetapi menyentuh hati, membuatkan pembaca tersenyum, dan mungkin juga sedikit sebak kerana terdapat elemen emosi di sebalik jenakanya.

Operasi Memikat Hati Bakal Mentua
Harga Asal:
RM35.00 (SEM) / RM38.00 (S&S)
Diskaun Ahli: 20%*










